Tuesday 17 February 2015

India: Misi Memburu Shahid Kapoor - Day 2


15th February 2015 – Day 2

Hari ni kami bakal meninggalkan Delhi untuk ke Jaipur menerusi kereta api. Merasalah kita “chaiyya chaiyya” walaupun train ni moden aje. Express train. Hihi.

Train kami akan bertolak jam 6.05 pagi jadi pukul 4 pagi kami dah bangun, siap-siap packing semua. Beg tarik kami akan tinggalkan di luggage storage hotel ni sampai kami balik nanti, sebab kami akan tinggal di hotel ni lagi sebelum balik Malaysia nanti. Untuk mengembara dari satu bandar ke satu bandar kami bawak beg camping aje, backpack.

Check out dalam pukul 5. Total penginapan kami campur 2 kali makan di restoran hotel, jadi Rs3850 = RM230. Berpatutanlah bagi aku. Kami pun berjalan kaki ke train station, dalam 3 minit aje jaraknya. Kami terus jumpa platform kami, jadi menunggu ajelah. Kami sampai sejam awal. Sebelum masuk train station tu kami risau jugak, sebab bila baca dan dengar cerita orang, macam teruk sangat keadaannya. Tapi ternyata orang kita ni pandai exaggerate, besar-besarkan cerita. Takdelah teruk mana keadaan stesennya. Memanglah ramai orang tidur bergelimpangan, ada bau hancing, tapi kalau pegi station kita pun mungkin ada. So mengikut pandangan aku, it wasn’t so bad.

Train gerak ikut time, mungkin sebab train ni memang mula di station ni. Oklah, selesa, siap ada plug point untuk charge device. In fact, kalau kami ada simkad dan phone number India, kami boleh dapat free wifi jugak dalam train ni. Dalam perjalanan aku sempatlah menaip apa yang patut. Kami diberi macam-macam dalam train ni. Air mineral, air limau, teh, biskut, breakfast (roti 2 keping dengan ala-ala begedil kentang 2 biji). Kenyanglah, serious!

Perjalanan ambil masa lebih kurang 4 jam setengah. Kira lajula sebab kalau naik bas/kereta akan jadi 6 jam.  Untuk 2-3 jam pertama tu, tak nampak apa kat luar. Kabus sangat, sangat tebal, jarak penglihatan mungkin setakat 5 meter je. Aku rasa macam train kami berjalan dalam selimut. Haha. Bila matahari naik, barulah clear. Dan barulah aku nampak pemandangan ‘sarson ke khet’ di sepanjang jalan, yakni kebun bunga kuning tempat Raj dan Simran reunion dalam cerita Dilwale Dulhania Le Jayenge tu. Hoi, geramnya hatiku. Andai dapat aku turun seminit dia untuk mengambil sekeping dua gambar.

Anyway, kami sampai di Jaipur akhirnya jam 11 pagi. Terus diserbu oleh pemandu auto/teksi. Atas nasihat husband aku, aku terus speaking Hindi aje dengan diorang. Daripada diorang quote harga Rs200, last-last kami dapat harga Rs100 je untuk ke hotel. Aku and husband lawanla, tawar-tawar. Siapa bagi best price dia menang.

Pemandu kami terus-terus tanya aku dari mana dan macam mana aku tahu Hindi. Aku kata daripada filem. “Mashallah, mashallah! Aapka Hindi bahut acchi hai madam.” Bodek ke apa tu? Haha… Bila dia perkenalkan diri dia, nama Rehan, aku terus petik pulak, “Rehan, jaise ke Fanaa, Aamir Khan.” Besar gelak dia, “You really know Hindi movie, ma’am.”  

Masuk-masuk auto aje dia terus tunjuk 1 buku, macam buku testimonial daripada previous clients. Dia tunjuk yang dia pernah bawa orang Malaysia jugak, ada catatan diorang dalam buku tu. Aku tahu, itu cara promosi diorang supaya kita as pelancong hire diorang untuk bawak berjalan seluruh Jaipur.  Dia quote harga Rs700 sehari, tapi by then dah 11 lebih dan kami nak keluar lepas Zohor je, iaitu pukul 1. Jadi dia kata untuk hari ni dia bagi Rs400. So aku kata kalau untuk 2 hari jadi Rs1000, aku ambil dia. So we got a deal.

Check-in di Crown Hotel Jaipur. Okla hotel dia. Tapi masuk-masuk aje husband dah macam-macam yang dia complain. Lantai kotor, tuala ada 1 je, tilam keras. Agaknya dia bandingkan dengan hotel di Delhi. Sebab hotel ni lagi mahal harga dia. Kami ada masa sejam setengah untuk rehat kejap menunggu Zohor. Sempatlah online apa yang patut. Wifi ada. Hantar khabar berita dekat anak-anak. Kawan-kawan pun ramai yang mesej kami, sebab semua terkejut kami di India. Kami ni memang jenis tak canang plan sampai bendanya dah jadi. Itu satu benda yang aku pantang.

Pukul 1 tepat kami keluar dan memulakan perjalanan ke sekitar Jaipur. Awal-awal terus kami singgah minum lassi original India. Rs40, kurang sikit daripada RM3 untuk gelas besar. Siap minum dalam bekas tanah liat. Sedap beb! Kemudian kami ke Hawa Mahal. Tiket masuk Rs100 untuk 2 orang. Cantik juga dalam dia.

Keluar tu sempat beli seluar tidur aku 2 pasang Rs300, dalam RM18. Rehan bawa kami ke Isarlat, menara tinggi di tengah-tengah Jaipur. Masuk Rs50, tengok pemandangan seluruh bandar Jaipur. Kemudian kami dibawa ke City Palace dan Jantar Mantar. Tempatnya menghadap satu sama lain. Bila pegi jenguk harga tiket, untuk foreigner sorang Rs400, kali dengan 2 orang, kali 2 tempat, dah Rs1600. Pastu aku jadi malas nak masuk. Hahaha. So kami ambil gambar depan signboard, lepas tu kami pegi merayap shopping. Husband dapat beli T-shirt 2 pasang Rs200, RM12. Aku belikan baju tradisional India untuk anak-anak sedara aku yang perempuan, 2 pasang Rs400, RM24.


Lepas tu pakat-pakat dengan husband, kalau Rehan tanya best ke masuk City Palace and Jantar Mantar, jawab aje best. Padahal tak masuk pun. Kikiki…

Aku dengan gatal mulut tanya kat Rehan pasal nak tempah baju, jadi lepas tu dia bawa kami ke beberapa kedai/kilang kain. Tunjuk cara buat block printing, guna warna-warna semulajadi semuanya, daripada sayur-sayuran. Suit lelaki pun boleh tempah, dan diorang perlukan 6 jam je untuk siapkan. Harga yang dia quote Rs11,000, dalam RM650. Di kedai kedua baru aku decide nak tempah aje baju. Alang-alang dah datang. Walaupun harganya memang mahal sikit. Kain campur upah jahit Rs1800, dlm RM110. Dia akan hantar di hotel malam ni.

Kami singgah pulak ke Jal Mahal untuk ambil gambar, lepas tu masuk kedai hiasan patung-patung ukiran, dan kemudian ke kedai rempah, beli rempah untuk mak-mak kami. Last sekali kami pergi makan di kawasan muslim. Kami ajak Rehan makan sekali. Senyum lebar dia. Order ayam tandoori, roti, nasi beriyani dan kuah ayam ape tah, chicken changezi namanya. Husband aku makan berselera sungguh. Dia kata semua sedap. Lain betul dengan rempah daripada Malaysia. Dia tak pernah rasa macam tu.


Masa tulah baru kami bersembang panjang dengan Rehan. Pasal life dia, family dia. Dia memang a proser Muslimla. Dia tunjuk gambar dia buat umrah, sebab dia pernah kerja 6 tahun di Saudi. Setiap waktu solat pun dia akan minta izin pergi solat sekejap. Dia cerita pasal life Muslim di India, isteri memang tak dibenarkan kerja dan sangat hormat suami. Perkahwinan Rehan pun diaturkan. Dia kahwin dengan isteri dia masa umur 12 tahun, dan isteri dia 8 tahun. Diorang tak tinggal sekali sampai umur isteri dia 21 tahun, barulah buat kenduri dan isteri dia balik ikut dia for the first time. Melopong aku dengar! Kami kata pada dia, di Malaysia daripada 100 pasangan, mungkin 1 aje yang diaturkan keluarga. Everywhere love marriage. Bila sembang bab Bollywood, dia terkejut bila aku kata film industry Malaysia sama banyak aje seksinya. Muslim pun tak bertutup bagai. Dia bayangkan Malaysia negara Islam macam Saudi. Siap tanya tentang undang-undang jenayah, ikut Islam ke tak. Seronok juga jumpa orang Islam yang kenal Islam tapi daripada bangsa dan budaya yang berbeza.


Benda-benda nilah yang tak ternilai bila kami travel. Yang buat kami asyik nak buat lagi… 

No comments:

Post a Comment