Friday 27 July 2018

Couple's Trip 2018: World Cup Russia, Moscow - Day 6


23 Jun 2018

Kami bangun macam biasa dan breakfast dengan family kawan kami tu. Wife dia masak macam biasa jugak. Memandangkan hari ni hari Sabtu, kawan kami tu tak kerja. Jadi dia pelawa nak bawak kami jalan ke mall yang jauh sikit. So sebab kami pun takde plan apa-apa hari ni, kami terima pelawaan tu. By 9 lebih tu kami gerak dan sampai sana dalam pukul 10.

Sesungguhnya aku lupa apa nama shopping mall tu, tapi dia dekat dengan stadium CSKA, satu kelab bola sepak Moscow. Dalam mall tu ada aquarium besar, setinggi 3 tingkat agaknya. Cantik! Macam kebiasaan, bila kami travel, kalau terjumpa H&M je mesti barang murah, jadi kami beli baju anak-anak dekat sana. Dan masuk beberapa kedai barangan jenama tempatan. Decathlon pun ada jadi kami masuk jenguk-jenguk souvenir World Cup.

Tak lama kami dekat sana, sebab lepas Zohor tu kawan kami sekeluarga ada jemputan open house kawan-kawan diorang. Kami tak ikut, tapi kami plan nak ke masjid besar di Moscow ni untuk solat Zohor. Sebelum gerak dari mall tu kami lepak minum kopi dan makan dessert dulu.

Mulanya kami mintak kawan kami tu ajar je macam mana nak ke masjid tu, tapi diorang kata biar diorang hantarkan je senang. So oklah. Kami sampai di Cathedral Mosque tu dalam pukul 1 lebih. Just nice dah masuk Zohor. Cantik juga dalam dia. Ada nampak pasangan Islam Russia kahwin juga hari tu, dok bergambar di perkarangan masjid. Kalau nak naik Metro ke masjid ni, station terdekat dengan masjid ni ialah Prospekt Mira.

Lepas solat kami jalan kaki ke station metro dan kami terus ke Kievskaya Mall. Dari sini ada bas free yang bawa terus ke Fan Fest. Jimat duit, masa dan tenaga. Tak sampai 10 minit naik bas dah sampai. Hari ni barulah kami berpeluang masuk ke Fan Fest ni. Rupanya dalam tu memang ada jual semua merchandise setiap negara yang masuk World Cup. Tapi semua original merchandise ya. Jadi harga pun tulen-tulen belaka. Dekat sinilah baru aku nampak jersey Iceland, Korea. Tapi kalau untuk dijadikan souvenir untuk orang lain tu memang tak mampulah makcik nak membelinya. Kalau orang kirim duit makcik terima.

Tapi untuk diri sendiri tu kami consider jugak. Husband aku dah cuba jersey Iceland dan dah decide nak beli, tapi bila tanya harga dia dekat promoter tu (nasib baik tanya dulu), harganya RUB6000, bersamaan RM360. Baiklah, simpan balik. Tak sanggup.

So kami keluar dari situ dan pergi ke skrin-skrin besar yang tayangkan bola. Tengah ada game Belgium vs Tunisia, jadi kami lepak sekejap dekat situ. Adalah 20 minit je kot kami duduk. Lepas tu rasa gelisah sebab belum setel souvenir. Hari ni hari terakhir kami. Nak tak nak kena beli sekarang.

So kami gerak dari situ, naik bas ke Kievskaya balik. Dekat sana sempat shopping Lush sikit lagi. Lepas tu amik metro ke Partizanskaya. Kami ke sana lagi, cari souvenir. In the end untuk lelaki dalam family kami, kami beli keychain je. Tahlah buntu je. 

Sekejap je dekat situ, beli barang lepas tu balik. Beli peach buat makan sambil berjalan. Kawan kami ajak keluar dinner lagi malam ni. Aku belum habis terkenang makanan jepun semalam, tapi sebab dia nak bawak kami try makanan lain pulak, aku pendamlah keinginan aku tu. Dia ajak jumpa terus di Kievskaya Mall balik. Memandangkan masih banyak masa sebelum masa yang dijanjikan, kami decide untuk turun di setiap station metro untuk ambil gambar station metro.

Ya, mungkin aku belum sebut lagi tentang ni. Perkara yang paling mengagumkan bagi kami dekat Moscow ni ialah station metro dia yang sangat, sangat, sangat cantik! Macam muzium! Penuh ukiran, chandelier, gambar-gambar mozek, tiang-tiang, patung. Macam-macam design yang semuanya ada kisah tersendiri. Kalau ada banyak masa terluang, aku takkan teragak-agak untuk ambil tour khas untuk ceritakan tentang metro station. Aku pernah nampak orang join tour tu beberapa hari sebelum tu. Kalau korang pergi Russia, aku syorkan sangat korang melawat ke sebanyak mungkin metro station. Just mind blowing. Balik tengok station LRT/MRT kita rasa mehhhh… hahah.

So anyway, sampai Kievskaya kami jumpa dengan kawan-kawan kami tu. Dia bawak kami makan di kedai burger halal, Black Star Burger. Katanya it is owned by a Muslim Russian artist. Ramai orang beratur dan kedai penuh, tapi kami berjaya dapat tempat duduk. Nak makan pun dia sediakan sarung tangan siap-siap sebab burger dia sangat juicy, meleleh-leleh makan tu. Tisu kalau setakat sehelai tu memang tak cukup. Sedap! Tapi aku takde ambik gambar pulak dekat Black Star Burger tu. Korang Google jelah kalau nak tengok. Banyak je gambar dia. Gambar orang makan pakai glove hitam tu betullah tu. Aku Google tadi pastu teringin pulak. Ish!


Habis makan kami merayau shopping lagi. Aku teringin nak pergi Moscow River Cruise, tapi rasa tak proper pulak kalau kami kata nak balik sendiri lepas diorang dah bawak kami pergi makan. Lagipun husband aku pun dah sibuk nak balik tengok bola lepas tu. So balik jela. Aku masih dok terbayang-bayang sushi semalam, tapi perut dah penuh gila dah, macam pelahap sangat pulak kalau singgah beli makanan lagi. Maka aku kuburkan niatku. Kedai tu buka sampai 5 pagi, tapi gigih sangatlah nak bangun jalan kaki ke kedai pagi-pagi buta tu beli makanan bawak balik Malaysia?

Balik tu kami mandi semua, solat, packing. Husband aku tengok bola. Aku memang tak keluar bilik dah.

Thursday 12 July 2018

Couple's Trip 2018: World Cup Russia, Moscow - Day 5


22 Jun 2018

Pukul 5.45 pagi tu sampai Kazansky Station di Moscow. Bunyi je 5.45 pagi, macam Subuh, padahal dah terang benderang macam 9 pagi. Kami pun segar bugar sebab dah tidur dalam train 13 jam. Ambil metro terus ke rumah kawan aku semula. By the time kami sampai ke rumah dia dah pukul 7.30, anak-anak dia baru nak ke sekolah. Wife dia pulak dah sediakan breakfast lagi untuk kami.

Kami makan berempat, bersembang sampai pukul 9 bila kawan kami tu gerak ke ofis. Kami boleh aje nak terus keluar merayau sebab kami tak penat. Tapi sebab hari ni hari Jumaat, husband aku nak merasa solat jumaat di masjid sini. Jadi kami lepak je di rumah menunggu Zohor. Aku guna peluang ni untuk cuci baju sikit, kurangkan load baju kotor dalam beg kami. Aku kerja sikit. Bila pergi jenguk di dapur, wife kawan aku tu dah masak lunch pulak untuk kami. Jadi kami makan sama-sama, lepas tu husband aku gerak ke masjid. Aku sambung bersembang sampai dah Zohor, terus solat, get ready semua.

Dah janji dengan husband aku, dia tak perlu patah balik ke rumah sebab masjid betul-betul sebelah metro station Minskaya. So aku menapak sorang-sorang ke metro station. Takde takut apa pun, sini safe je. Cuaca panas, keliling tasik yang aku lalu tu orang dok berjemur, bermandi-manda. Maklumlah, sebulan dua ni je diorang dapat merasa panas. Lepas tu bila sejuk tu, hilang akal sejuknya, pernah cecah -30 kata member kami tu.


Hari ni pun takdelah misi apa sangat yang nak ditengok. Paling penting ialah kami masih belum jumpa kebanyakan souvenir. Nak mencari souvenir World Cup, langsunglah tak wujud barang-barang daripada semua negara yang terlibat. Contohnya nak cari T-shirt Spain ke, muffler Germany ke, keychain England ke, magnet team bola Iceland ke. Langsung takde. Yang ada cuma gambar mascot World Cup tu, dan barang merchandise Russia. Kami masuk beberapa kedai sukan yang kawan kami suggest pun, tak jumpa apa yang dicari.

So dari kedai tu kami ke Arbatskaya; Kawasan tourist dan shopping di Moscow ni. Ada banyak kedai makan, kedai souvenir, dan dekat situ juga ada Hard Rock Café Moscow. Sama juga, masuk kedai souvenir tapi tak jumpa apa yang berkenan. Jalan-jalan tengok orang. Bila dah takde idea, kami refer kawan kami, dia suggest suruh pergi hypermarket sebab katanya dia macam pernah ternampak jual barang World Cup juga.


So seterusnya kami ke Gagarin. Dalam mall tu ada hypermarket yang dalam Bahasa Russia bertulis ‘awah’. Entah apelah sebutan dia, aku pun lupa. Oklah, ada jugaklah barang World Cup sikit dalam tu. Itu pun cuma t-shirt yang tulis nama-nama stadium World Cup. Kami beli jugalah t-shirt Kazan untuk anak-anak, dan baju untuk kami. Lepas bayar dan masa tengah jalan keluar, kami ternampak kedai Lush!


Yay!! Jadi aku terus ‘ting!” mendapat idea untuk beli barang-barang Lush je untuk kaum wanita dalam family aku. Borong sabun dekat situ dalam 10 ketul. Barulah kami gerak balik. Kawan kami dah pesan awal-awal, dia nak bawak kami keluar dinner malam ni jadi kami tak sambung lepak. Terus balik rumah dia, dan terus keluar dengan diorang.

Kami dibawa ke Kawasan dekat aje dengan rumah diorang, in fact kami pernah lalu jalan kaki masa balik dari Fan Fest hari tu. Makan di kedai Jepun: Yakitoriya. Dekat kedai ni kami order makanan seafood dan vegetable based saja. Jangan order ayam dan daging. Choice makanan dia sangat banyak dan sangat interesting, especially sushi dan maki dia.

Dan bila makanan sampai, subhanallah, sedapnyaaaaaaa! Tak pernah aku jumpa yang lebih sedap daripada ni! Tapi makan pun segan-segan, sebab awal-awal kawan kami dah cakap dia nak bayar. Kalau kami yang bayar memang tah pape lagi aku order lagi. Tak habis memang aku bungkus je bawak balik. Dan benarlah kata pepatah kan, siapa malu dia rugi. Hahah. Apparently kedai ni bukak dari pukul 10 pagi sampai 5 pagi. So ini memang selalu jadi port lepak untuk kawan kami tu.

Ni aku letak gambar nama kedai tu, sebab dalam tulisan Russia kan, nanti orang tak reti baca. Dia ada banyak cawangan dalam Russia tu. Sedap weh, kalau mengikut tekak aku. Sape pegi, aku nak kirim bleh? Kalau bleh order Foodpanda ni memang dah ku order.

Lepas makan kami terus balik sebab dah kekenyangan, sengkak perut. Ada bola dekat TV, tapi aku macam biasalah, lepas je mandi dan solat memang terus tak gerak dah daripada katil. Rugi sebenarnya kan? Siang sampai pukul 9.30 malam, tapi awal-awal dah balik tidur. Hehe. Faktor usia!

Wednesday 11 July 2018

Couple's Trip 2018: World Cup Russia, Kazan - Day 4

21 June 2018

Disebabkan kami dah Subuh awal-awal, kami boleh lajak tidur sampai siang. Hari ni hari terakhir kami di Kazan jadi kami tak nak keluar lambat sangat supaya sempat tengok-tengok Kazan sebelum balik.

Plan yang sangat ambitious hari ni ialah untuk pakai baju kurung/baju melayu dan bergambar lagi sekali di Masjid Qolsarif semalam. Banyak juga penghalang dan peluntur semangat kepada plan ni. Nombor 1 ialah kami tertinggal bendera Malaysia di rumah kawan kami di Moscow. Bendera tu sepatutnya semalam lagi kami guna di stadium, baru epic. Masa sedar bendera tertinggal tu memang kecewa gila-gila, apatah lagi kami beli bendera tu special untuk datang ke game ni. Nak buat camane, dah tertinggal. Mana nak dapat beli pun bendera negara kita dekat negara orang. Yang keduanya, tudung yang matching dengan baju kurung aku pun tertinggal di Moscow. Terpaksa pakai tudung yang tak matching. Gasaklah.

Bersiap semua, dalam pukul 9 lebih kami check out dari Zam Zam Hostel. Hari ni naik public transport dah kena bayar. So kami naik bas ke Masjid Qolsarif. Bergambar, walaupun angin sangat kuat sampai nak terbalik tripod kami. Dan alang-alang dah dekat situ, kami masuk dalam masjid tengok-tengok, beli souvenir dekat dalam tu.

Lepas keluar tu barulah kami tukar balik baju kurung/melayu tu ke baju kasual dan turun ke Bauman Street, shopping street dekat sini. Misi kami ialah nak cari souvenir dari Kazan, jadi kami masuk semua kedai souvenir. Tapi takde apa yang special. Belilah magnet sikit, tapi other than that kami takde jumpa apa-apa yang menarik macam dekat masjid tadi. Dekat keliling masjid tu barang yang dijual cantik-cantik, kebanyakannya kraf daripada golongan Tatar, orang Islam tempatan.

Kami singgah makan di satu kedai halal dalam satu bangunan mall. Lepas tu kami sambung berjalan lagi. Lepas bincang dengan husband, kami decide untuk beli souvenir dekat masjid tu. Tapi disebabkan kami terpaksa mengheret luggage sebab kejap lagi nak naik train balik ke Moscow, aku suruh husband tunggu dekat Bauman Street tu, while aku patah balik ke masjid tu sorang. Kami tak nak berlengah sangat sebab train kami ke Moscow pukul 4.40 petang. Masa tu dah pukul 2 lebih.

Aku lari ke masjid beli souvenir untuk anak-anak nan ramai di rumah, dan lari turun ke Bauman Street balik. Mengahlah jugak. Dari sana baru kami berjalan ke arah train station. Mengikut google maps, dekat dengan station tu ada satu masjid lagi, jadi kami menghala ke situ untuk solat Zohor dan Asar.

Sampai dekat masjid tu, keadaan dekat dalam tu nampak terbiar. Turun ke toilet/tempat wuduk dia pun kotor dan tak terurus. Dalam tu takde orang. Lepas tunggu sekejap, ada orang masuk, tapi seperti biasa, bercakap macam ayam dan itik. In the end, dengan Bahasa isyarat aje kami dibenarkan guna masjid tu untuk solat, aku naik solat di atas. Guna jugaklah toilet/bilik wuduk yang tak berapa memberangsangkan tu. Kesuntukan masa, jadi redah je.

Selesai tu kami berjalan ke Kazan train station tempat kami sampai hari tu. Check di info board, tak nampak nombor train kami jadi kami terus ke information tunjukkan tiket. Masalahnya tiket kami tu pun dalam Bahasa Russia sepenuhnya. Elok perempuan tu baca je tiket kami, air muka dia berubah jadi panik. Serentak tu berderau darah aku. Mesti silap station ni. Dia terus berlari keluar dan cari-cari orang yang boleh berbahasa Inggeris, dan jumpalah seorang budak volunteer World Cup. Budak tu datang terangkan dekat kami yang kami salah station. Kami sepatutnya naik train di Passazhirskaya, dan bukan di Kazan station. Masa tu masih ada sejam lagi, dan kata orang tu it takes about half an hour to get there by taxi.

Satu aku respect pegawai tu, dia yang bersusah payah callkan teksi untuk kami. Kebetulan ada 2 orang lelaki Iran yang sama macam kami, salah station. Dia kumpulkan kami di satu tempat dan suruh nak teksi sama-sama, tongtong duit. Dalam teksi tu baru dok tawar menawar harga, siap orang Iran tu call entah sape tolong jadi translator. Dia caj kami RUB1000 untuk satu trip tu, so aku dan husband bayar RUB500, mamat-mamat Iran tu bayar RUB500. Oklah tu, asalkan sampai station. Dia bawak macam pelesit, tapi selamatlah kami sampai pada masanya.

Elok sampai di station, info platform pun keluar, jadi kami terus ke platform. Train sampai on time, gerak pun on time. Kali ni pun kami pilih katil atas untuk keselamatan. Tapi kawan sekabin kali ni tak friendly, orang Iran. Jadi kami takde bersembang. Malang nasib aku, handphone dah dekat habis bateri. Powerbank powernya dah tak banyak. Laptop semalam kalut-kalut nak tengok bola, lupa nak caj. Buku cerita pulak pegi simpan dalam luggage dan kabin sempit tak boleh buka. Maka aku ketandusan aktiviti untuk dilakukan. 13 jam oi dalam train! So apa lagi yang tinggal, tidur jelah, walaupun baru pukul 5 petang.

Off and on tidur dan terjaga. Sampai dalam pukul 12 lebih malam tu kami bangun solat Maghrib/Isyak di katil, dan berjaga sampai masuk Subuh. Tak lama pun, menunggu dalam setengah jam je. Simpan wuduk sebab susah nak ambil wuduk dekat toilet dia. Lepas tu
sambung tidur lagi. Kami dijangka sampai pukul 5.45 pagi, jadi dalam pukul 4.45 conductor datang kejut semua orang. Kami bangun bersiap dan tunggu train sampai. Tepat 5.45 dia sampai di Moscow.

Tuesday 3 July 2018

Couple's Trip 2018: World Cup Russia, Kazan - Day 3

19/20 June 2018

Kawan kami bermurah hati hantarkan kami ke Kazansky Train Station, Moscow, jadi kami sampai ke sana dengan lancar. Masih ada 2 jam sebelum train kami berangkat masa kami sampai, dan platform mana train akan sampai pun belum diberitahu sebab maklumat tu hanya dikeluarkan setengah jam sebelum train berlepas.

Orang sangat ramai, jadi kami duduk aje buang masa. Pukul 11 lebih tu barulah kami gerak ke platform. Ada nampak satu keluarga orang Melayu kita juga naik train yang sama. Mulanya aku excited la nak senyum, tapi rupanya kena ignore. Kahkah. Dia langsung tak nak make eye contact dengan aku. Maka aku pun abaikan jelah. Train sampai, kami berpusu-pusu naik.

Untuk perjalanan ke Kazan yang ambil masa 12 jam ni, kami beli tiket kabin 2nd class. Dalam kabin jenis ni, kami berkongsi 4 orang satu kabin, katil double decker, dengan tempat tidur sorang satu. Disebabkan kita takkan tahu kita akan kongsi dengan siapa, kami ambil langkah selamat dengan beli seat tingkat atas, supaya takdelah aku diskodeng oleh entah sape-sape nanti. Tiket kami pergi balik berharga lebih kurang USD100 seorang. Sepatutnya bila ada Fan ID dan tiket bola, kami boleh apply untuk free train ke mana-mana bandar tempat kami akan tengok bola. Tapi nasib kami tak baik, tiket train free dah sold out by the time kami cuba book. Jadi takde pilihan lain, terpaksa ambil train ni. Nak naik flight pun boleh, tapi harga lagi 3 kali ganda.

Pandangan pertama dekat kabin tu memang kecut juga perut aku. Macam manalah nak kongsi dengan strangers dalam kabin sekecil ni. Nak panjat tingkat atas pun kemain curam. Membayangkan husband aku yang boleh tahan besar nak bersempit dekat atas tu pun aku risau. Masa tu jugalah rakan sekabin kami sampai. Lelaki, dengan identity yang susah nak dipastikan. Muka nak macam arab, tapi English dia sangatlah berhabuk. Sesama member dia sendiri pun diorang cakap English top class.

So kami mula beramah mesra. Diorang ni rakyat Amerika berbangsa India. Lahir di Hyderabad, membesar di Arab Saudi, dan sekarang menetap di Chicago. Agama Islam. Lepas settle down di tempat masing-masing, kemas katil, pasang cadar, sarung bantal (semua disediakan), kami berbual sekejap. And then semua pakat tidur. Selesa jugaklah sebenarnya atas tu.

Dalam pukul 2 pagi aku kejutkan husband temankan ke toilet, berwuduk semua dan solat Subuh duduk atas katil. Lepas tu kami tidur balik lagi. Langsir gelap diturunkan dalam kabin kami, jadi sampai ke siang dalam tu still gelap. Aku yang dah puas tidur ni naik gelisah jadinya. Pukul 8 lebih tu kami keluar kabin lepak di koridor. Rasa nak lepak minum-minum tapi bila kami tanya conductor gerabak kami, dalam bahasa ayam itik antara kami tu, dia bagi kami satu sachet kopi dan satu cawan untuk bancuh sendiri. Rupanya train ni takde gerabak kafe pun. Sedih betul.

Dalam kami dok keluar masuk kabin tu, salah seorang kawan sekabin kami tu, Ilyas, terjaga. Jadi aku minta dia buka langsir sikit sebab tinggal 3 jam lagi nak sampai. Dia pun bangun dan bersembang dengan kami. Banyak yang kami borakkan, mostly pasal Islam, perbandingan ekonomi, pendidikan, taraf hidup, haji dan umrah, antara Malaysia dan USA. Menarikla. Husband aku sempat canang kata aku pandai cakap Hindi, jadi dia interview sikit. Dia siap minta email address kami untuk keep in touch sebab dia memang plan nak ke KL hujung tahun ni dengan family. Dia kerja Dentist rupanya dekat USA. Kawan dia yang sorang lagi, Mahraz, tidur sepanjang jalan sampailah lagi setengah jam nak sampai baru dia bangun. Conductor datang ke setiap kabin untuk kejutkan kami sejam sebelum sampai untuk get ready.

Kami akhirnya sampai dekat Kazan pukul 12.45 tengah hari. Dekat sana hujan renyai-renyai. Kami terus aje cari bas untuk ke hostel kami. Adalah kekeliruan sikit, salah naik bas sekali. Tapi lepas tu lancar aje. Disebabkan hari ni ialah hari perlawanan bola kami, dengan berbekalkan Fan ID dan tiket bola, kami boleh naik semua public transport free. Sampai di Zam Zam Hostel dalam pukul 1 lebih tengah hari.

Terpaksa redhalah dengan tempat tinggal kami gaya hostel ni. Bilik kami okay, tapi toilet dekat luar, jadi agak leceh untuk aku. Tapi disebabkan musim World Cup, semua hotel sama ada sold out ataupun harga naik berkali-kali ganda. Masa kami cari Airbnb, rumah yang nampak tak memberangsangkan pun harganya jadi RM1000 untuk 1 malam. Tak sanggup pula nak bayar. Zam Zam Hostel ni bilik dia harga cuma RM270, jadi terima jelah.

Kami terus mandi, solat, dan tukar pakai jersey. Game bola kami malam ni pukul 9 ni Kazan Arena. Kami akan tengok game Spain v Iran. Tapi kami keluar pukul 2 ni kami takkan ke stadium terus. Nak merayau dulu ke masjid Qolsarif yang terkenal dekat sini. Ramai orang dekat masjid tu, kebanyakannya orang Iran yang akan tengok bola juga malam ni. Kami bergambar, jalan-jalan. Ingat nak cari tempat makan, tapi kami tak berjalan cukup jauh dan tak jumpa kedai makan. Sebenarnya kami yang tak peka, sebab dekat Kazan ni majority penduduknya Muslim dan kedai makan halal banyak.

Dekat sini kami jumpa family Melayu tu lagi, dan lagi, dan lagi. Tapi setiap kali tu dia refuse to make eye contact dengan aku. Eehhh aku pun tak hinginlah nak senyum kat kau. Tah ape yang kekwat sangat tah.

Puas berjalan dekat area situ, kami naik free bus ke Kazan Arena dalam pukul 5.30 petang. Punyalah padat bas tu, aku yang kecik ni duduk paras-paras pinggang orang je. Maklumlah dikelilingi warga international. Sampai dekat sana kami masuk satu mall kecik dekat dengan stadium tu. Nasib kami baik, ada kedai halal dalam tu. Tapi nak order makanan pun satu cabaran jugaklah sebab menu dia semua dalam Russian. Jadi kita cuma boleh main tunjuk2 je apa nak, tanya tu apa? Chicken? Fish? Yes chicken. Yes fish. Yes rice. Yes potato. Lepas tu tawakkal je entah dapat makanan rasa apa. Nasib baik boleh telan.

Dah kenyang perut barulah menapak ke stadium. Meriahlah sekelilingnya. Tapi kami perasan memang majority ialah penyokong Iran je. Tah berapa kerat je orang pakai baju Spain. Banyak jugak yang senyum-senyum sinis sebab aku bertudung tapi pakai baju Spain. Mesti orang Iran ingat aku ni Iran pengkhianat.

Husband aku ambil peluang bergambar dengan awek-awek international nan ramai. Kami siap tadah muka untuk diconteng. Tapi masa nak masuk ke stadium tu agak mencabar. Banyak sangat rules dia. At one point kami masuk ikut pintu yang tak ramai orang beratur, tapi tukang jaga dekat situ macam extra strict. Monopod yang kami tengah pegang pun dia tak bagi bawak masuk. Jadi kami keluar balik dari line, sebab dia suruh pergi simpan monopod dekat khemah simpan barang. Aku berkeras tak nak simpan dekat sana, sebab benda kecik macam tu kemungkinan besar akan hilang je. Aku suruh simpan semua benda dalam beg, tak pegang apa-apa dekat tangan. Botol air yang kosong kami buang semua sebab memang tak boleh bawa masuk. Sekali lagi kami beratur.

Kami ni takde isu tentang kamera ke, monopod ke, tapi tudung aku pula jadi sasaran. Jarum peniti, pin dan brooch tak boleh pakai. Aduhai. Dengan shawl aku yang licin ni, macam mana kalau takde pin. Aku dibawa ke bilik dan pegawai perempuan tu masuk sekali dalam changing room untuk tengok aku buka semua pin. Nasib baiklah dalam keserabutan tudung aku tu dia tak perasan 2 brooch aku yang aku pasang dekat bahu. Brooch tulah penyelamat aku lepas tu. Roti coklat yang kami bawa bekal dalam beg pun habis kena rampas. Ish ish. Kebulurlah sampai malam.

Tapi selamatlah lepas masuk ke stadium. Sempat beli muffler Espana sehelai, walaupun mahal ya rabbi. RUB1500 = RM100. Lepas tu barulah kami naik ke seat. Tempat kami okla, tak tinggi sangat. Berselfie-selfie dekat seat. Kami dok berkenan dengan cawan yang bertulis perlawanan dan tarikh hari ni. Tapi cawan tu cawan Budweiser. Dia jual non-alcoholic beer sebenarnya, so husband aku pergi beli 2 cawan untuk bawak balik. Isi beer tu? Dia tak sanggup minum sebab bau sebijik macam beer sebenar, so dia pegi buang kat toilet.

Game mula pukul 9, dan bersemangat seperti biasa. Stadium memang penuh orang Iran, dan diorang memang menang sorak. Aku bahagia sebab dapat tengok Sergio Ramos main depan mata walaupun nampak besar kucing je dekat bawah tu. At the end of the game, Spain menang 1-0. Yay!!

Game habis pukul 11 tu, kami pergi kutip banyak-banyak cawan yang orang tinggalkan, nak buat souvenir. Ramai je buat perangai macam kami. In total dapatlah dekat 15 cawan kami bawa balik. Nak balik ke hotel pun kami jalan kaki je sebab cuma 2km. Tapi agak rushing sebab pukul 1.15 dah masuk Subuh rupanya dekat sini. Nak singgah beli makanan lagi sebab lapar. Kami bungkus je buat makan dekat hostel sebab dah lambat.

Sampai bilik terus solat Magrib Isyak. Makan. Dan masuk je Subuh terus solat. Barulah tidur sampai ke pagi.

Sunday 1 July 2018

Couple's Trip 2018: World Cup Russia, Moscow - Day 2


19 Jun 2018

Pukul 5.30 pagi kami dah terjaga, matahari dah terang benderang dekat luar macam pukul 9. Tapi kami bersantai-santai dalam bilik dulu, aku buat kerja segala. Sebab ini rumah orang kan, takkan nak pergi buat bising dekat luar pulak. Anak-anak dia kecik lagi, dan diorang pun nak buat rutin harian diorang bersiap pergi sekolah, pergi kerja, breakfast as a family semua. So dalam pukul 7.30 bila diorang tengah nak turun hantar anak ke bas sekolah baru kami keluar bilik.

Breakfast sama-sama dengan kawan aku dan wife dia. Segan rasa, dia masak segala macam. Yang lagi serba salah bila satu benda pun dia tak bagi kami tolong, baik membasuh pinggan atau masak. Aku ada offer untuk masak bila-bila, dia kata tak payah. Masa kami nak basuh pinggan pun dia ada sebut tak payah, sebab cara basuh berbeza. Bab-bab macam ni sensitive sikit, sebab aku tau ada certain people tak suka kita sentuh barang dia atau buat kerja bukan ikut cara dia. Jadi kami kena hormatlah. Terbaliklah dengan aku, kalau orang datang rumah selagi boleh aku mengalu-alukan orang lain basuh pinggan. Kuikuikui.

Dalam pukul 9 tu kami tumpang kawan aku tu keluar ke ofis, dia dropkan kami dekat FIFA Fan Fest. Tempat tu macam dataran yang pasang banyak-banyak skrin besar untuk tengok bola, dan ada jual-jual merchandise World Cup. Agak dekat dengan Stadium Luzhniki tempat ni. Yang kelakarnya bila sampai sana, senyap sunyi je. Masa tu barulah menggagau nak google. Tempat tu buka pukul 12 tengah hari. Tahniah.

Jadi kami menapak ke train station terdekat. Sempat melepak dekat taman dekat situ sebab awal lagi nak ke mana-mana pun. Hari ni kawan-kawan kami tu pinjamkan kad Troika diorang untuk kami guna naik train. Lebih kuranglah macam Touch n Go di Malaysia, Oyster di London, dan Opal di Sydney. Jimat sikit, sebab setiap kali masuk dia caj RUB36, berbanding beli tiket harganya RUB55. Dan jimat masa jugak, tak perlu nak beratur beli tiket setiap kali naik train. Bas pun boleh guna.

Destinasi pertama kami ialah ke Izmaylovskaya, katanya tempat jual souvenir. Sampai dekat sana kami masuk satu bangunan kedai yang jual barang-barang pasar, makanan, pakaian. Gila jugak aku dekat dalam tu, bila tengok sayur-sayur, buah-buah, kekacang, dan yang paling gila sekali kedai cheese dia yang besar-besar dan murah-murah. Geram rasa nak beli, tapi takut tak tahan dekat dalam beg on the way balik Malaysia nanti. Puas merayau dekat situ, kami naik train ke Partizanskaya pulak. Ini memang tourist attraction; tempat beli souvenir, macam CM dekat KL ni. Kami singgah satu kedai beli kebab dulu, makan sambil berjalan.

Lama kami spend masa dekat Partizan tu, membeli magnet, tengok matriyushka, mencari souvenir World Cup. Kami end up beli sikit magnet dulu, buat back up kalau tak terjumpa dekat tempat lain. Husband sempat beli topi Russia, terus pakai sebab cuaca panas. On the way patah balik ke metro station kami beli cherry seplastik, harga RUB150 gitu sebab sekarang tengah musim dia. Sedap! Mengunyah sambil berjalan. Plan asalnya kami nak patah balik ke Fan Fest tadi, nak tengok game Japan vs Colombia dekat sana. Akula, nak beramah mesra dan bergambar dengan penyokong Jepun sebab hari ni aku pakai baju Jepun.

Tapi separuh jalan nak ke sana, bila tukar train ke line lain, kami terserempak dengan sebesar-besar kumpulan penyokong Poland yang dalam perjalanan ke stadium Spartak, untuk game lawan Senegal. Punya riuh rendah, meriah gila dengan lagu-lagu diorang. Penuh satu train diorang saja, dan beberapa train seterusnya masih penuh. Benda macam ni yang kami selalu bayangkan tentang World Cup, jadi kami buat kerja gila ikut diorang ke Stadium Spartak. Jauh juga stadium tu sebenarnya. Bila sampai sana bergambar sikit dengan penyokong dekat sana semua, lepas tu kami patah balik ke Fan Fest.

Dari station terdekat pun jauh juga nak jalan ke Fan Fest. Kami sempat singgah beli kebab lagi. Jadi by the time sampai ke Fan Fest, game Japan v Colombia dah pun habis. Penyokong Jepun langsung tak dapat dikesan. Lenyap sama sekali, walaupun Jepun yang menang. Orang Colombia masih ramai. Kecewa juga aku, tapi apakan daya. Beli aiskrim, makan sambil berjalan kaki balik ke rumah kawan kami tu. Hujan gerimis sikit.

Kami sampai ke rumah lebih kurang sama time dengan kawan kami balik kerja dan anak-anak dia balik sekolah. Jadi terus makan dinner. Wife dia dah masak. Kali ni dia masak ikut tekak aku pulak, lasagna dan chicken pie. Aduhai, susah payahnya dia. Segan aku.

Lepas makan kami mengemas, dan sempat tengok bola semua, mandi dan bersiap. Malam ni kami akan bergerak ke Kazan, satu bandar dalam Russia ni, untuk pergi tengok bola. Train kami pukul 11.50 malam jadi takdelah rush apa pun. Boleh tunggu Maghrib dulu baru gerak. At the last minute tu kawan kami decide untuk hantarkan kami. Terima kasih yang tak terhingga. Harap kami tak menyusahkan korang. Wife dia siap bungkuskan satu beg penuh dengan biskut, roti, dan jus untuk kami makan dalam train. Thank youuuu.