Thursday 23 December 2021

Travel Pasca COVID: Day 10 - Pamukkale to Istanbul

 21 Disember 2021

Pukul 6 tu bangun bersiap. Flight kami balik ke Istanbul hari ni pukul 9.55 pagi. Make sure dah ready semuanya, azan je terus Subuh dan keluar. Rupanya orang hotel dah sediakan breakfast untuk kami dekat bawah, so duduklah makan dulu. Terharu sekejap. Boleh aje diorang nak lepas tangan memandangkan kami keluar sebelum waktu breakfast. Tapi diorang usahakan juga.

Semalam masa nak booking airport shuttle, brader tu dah advise suruh kami keluar pukul 7.30. Kami risau juga sebab dah biasa pergi airport 3-4 jam awal. Dia kata walaupun perjalanan sejam, airport kecil aje. Satu-satu masa tu ada 1 flight aje, jadi check-in semua laju. Jangan risau, dia kata. Kami trust dia jelah. So pukul 7.30 tu kereta kami sampai, gerak ke airport. Kami dicaj TL400 untuk transport ni.

Sampai airport, drop baggage semua. Masa lalu scan bag semua tu kelam-kabut sekejap. Phone Adik hilang. Memang memintalah kena berleter dengan aku, sebab aku dah pesan banyak kali, bila nak lalu security macam tu, simpan semua benda dalam beg supaya tak penuh tangan nak mengangkat. Lama gak mencari, last-last jumpa dalam henbeg aku. Agaknya aku pun main sauk je apa yang ada dalam kotak-kotak tu lepas scan. Yang penting melalaklah seround budak tu sebab panik dan kena marah.

Masa naik flight tu, di luar mula snowing balik. Goodbye Pamukkale! Flight sejam saja, nak makan 1 sandwich pun tak sempat habis dah mula descent balik.

Sampai di Istanbul Airport pukul 11 pagi, pick up luggage dan tuju ke tempat airport shuttle kami menunggu di pintu 13. Kali ni pun kami minta Juma, travel agent yang uruskan tiket bas kami hari tu, untuk aturkan. Kami dicaj 25 sehala untuk airport shuttle ke hotel. Ini paling murah yang kami jumpa. Hotel kami sendiri caj USD50 sehala!

Perjalanan ke hotel dalam sejam, tersangkut jem lagi. Kali ni tempat tinggal kami di kawasan moden, tak ada tourist attraction di sini. Dan menghadap a very busy road and a hospital. Asyik bunyi ambulance je. Tabahlah.

Kami tinggal di All Season Suite. Macam apartment, ada 2 bilik dan 2 toilet, dapur dan mesin basuh. Mesin basuh tu yang penting sangat, sebab baju kotor dah menimbun ni. Dan, of course, hotelnya ada lif. Nak cari apartmen yang ada mesin basuh tu tak susah, tapi nak cari apartmen yang ada lif tu yang payah. Tak sanggup ler nak angkut 4 luggage naik tangga. Lisa Surihani bolehlah, ada je mamat nak tolong angkatkan barang. Haha.

Anyway, masuk bilik tu agak impressed, lebih-lebih lagi ada 2 toilet. Tak payah lagi berebut toilet dengan Kakak. Tapi on closer inspection, kami baru sedar yang dia bagi rumah ni gonjeng je. Ada mesin basuh, tapi sabun basuh baju tak disediakan. Ada dishwasher tapi dishwasher tablet tak disediakan. Hatta sebotol air pun tak dibagi dekat kami. Memang sedih. Nak guna pinggan mangkuk sikit-sikit, nak basuh sendiri pun sabun basuh pinggan, span semua tak disediakan.

Naik angin juga aku tadi. Tak pernah lagi aku jumpa accommodation macam ni. Banyak dah aku merantau serata dunia. Paling-paling koman pun alat membersih asas mesti ada, kain nak lap-lap kaunter, span, sabun basuh. Untuk kesenangan diorang jugak, sebab guest boleh buat pembersihan asas. Dan air minum is basic la. Hotel pun boleh sediakan, takkanla korang tak boleh sedia. Padahal masa dia hantar kami ke bilik tadi, dia dah pesan, jangan minum air paip. Maka?

Aku book hotel/apartmen ni melalui Booking.com sebab tempat macam ni ada reception 24 jam kalau kami perlu apa-apa. Dan dalam listing pada Booking.com dah terpampang maklumat pasal airport shuttle disediakan, nak buat swab test pun diorang boleh uruskan. Hal begini yang buat kami decide to book hotel instead of Airbnb. Tapi bila jadi macam ni, aku terkenang-kenang Airbnb pula. Biasanya kalau duduk rumah Airbnb, groceries jarang-jarang nak kena beli. Segala tepung, telur, susu, sabun basuh, tablet dishwasher, penyapu, sampai ke kicap Kipas Udang pun kadang-kadang boleh jumpa. Kalaulah kami tahu boleh jumpa travel agent macam Juma yang boleh uruskan semua benda, I would've booked an Airbnb. 

Haih. Anyway. So solat Zohor, dan keluar. Hari ni kami Taksim. Kebetulan cuaca sangat cantik hari ni. Kami naik Metro guna Istanbulkart kami tu. Sampai di Taksim, berjalan sepanjang Istiklal Avenue tu. Banyaklah kedai-kedai berjenama. Masuk window shopping sikit. Adik finally dapat makan aiskrim Turki dia. Singgah lunch sekejap. Sampai petang, dekat Maghrib tu tiba-tiba started snowing. Tapi sikit ajelah, dan sekejap.

Kami pun dah kepenatan. Beli beberapa simit, kebab ayam, dan gerak balik naik Metro. Sampai di kawasan hotel tu, masuk supermarket pula, kena beli semua kelengkapan yang kami tak ada tu. Walaupun nak guna cuma beberapa kali, terpaksa beli sabun basuh pinggan sebotol, sabun basuh baju sepaket, span sendiri, air mineral besar 2 botol. Selain tu, beli makanan untuk breakfast esok. Yang itu biasalah, pergi mana-mana pun kalau ada dapur, kami akan beli. Macam roti, susu, butter.

Balik bilik tu barulah basuh baju, mandi, solat semua. Settle down for the day.

No comments:

Post a Comment