Tuesday 9 February 2016

Honeymoon 2016: Lombok, Indonesia Day 5

8 Februari 2016

Bangun pukul 8 tu kemas-kemas sikit, siap-siap pergi breakfast. Masih di spot sama. Sunyi sepi aje pagi ni, macam Gili Trawangan dah kurang orang sikit. Sebab pagi Isnin agaknya. Weekend hari tu mungkin warga Indonesia buat short trip dalam negara sendiri. Mungkinla.

Makan, bersembang sampai 9 lebih. Masuk bilik dan mula packing. Sedih pulak rasa nak tinggal Gili Teak Resort ni. Feel tempat ni kena dengan jiwa aku. Santai, kemas, bersih.

Belum pukul 11 kami dah berada di kaunter dia. Manager dia sendiri yang uruskan check out kami. Mat salleh dari England, Terry namanya. Sangat friendly dan prihatin. Aku yang blur ni tak perasan dia awal-awal tu. Husband aku yang tunjukkan dia dekat aku semalam, “I rasa itu owner tempat ni, sebab he is everywhere.” Dan memang betul, dia memang tak berenti buat kerja. Pagi tadi masa breakfast aku tengok dia sapu pantai sama-sama dengan pekerja dia. Dia rajin sembang dengan guest, dan rajin buat keje.

Masa check out tu dia tanya-tanya how was our stay semua. Lepas tu kami mintak dia panggilkan cidomo untuk kami ke sentral. Tak larat dah weh rembang terpacak tu nak menapak lagi, dengan beg lagi. Relalah aku berpisah dengan Rp75,000 itu untuk ke sentral. Harga cidomo ni mengikut kedudukan hotel kita juga. Lagi jauh dari sentral, lagi mahal.

Jadi sementara menunggu cidomo sampai, kami bersembang dekat situ. Tentang salasilah dia boleh duduk di Gili Trawangan ni. Dia polis dulu rupanya dekat Newcastle. Wife dia pun polis, dan diorang dua-dua dah pencen, datang sini jaga hotel. Diorang ada lagi satu resort di pulau yang sama, wife dia jaga. Dia invest dalam hotel ni dah lama, tapi baru pindah ke sini dalam 3 tahun lepas. Panjang lebarlah kami bersembang, kalau aku tulis kang dah jadi autobiografi Terry pulak kan? Tapi jangan tertipulah dengan perkataan pencen tu. Hensem lagi oi! Dah macam Jason Statham aku tengok dia tu.

Bila cidomo sampai, kami berlari-lari pegi cakap bye dekat Swedish couple tu pulak. Sempat berselfie segala. Tapi sampai ke sudah aku tak tahu nama diorang. hahah.

Sampai di sentral 11 lebih. Beli tiket bot tak sampai 10 minit dah boleh naik bot. Perjalanan bot semua ok, sampai di Bangsal terus diikut oleh beberapa orang teksi dah. Semuanya quote mahal-mahal untuk ke Senggigi. Kami bukannya sampai ke Senggigi pun. Hotel kami dah jauh meninggalkan Senggigi, lebih dekat dengan Bangsal. So kami tolak semuanya, jalan kaki menuju ke tempat banyak teksi Bluebird menunggu. Tengah berjalan kaki tu satu kereta panggil-panggil kami dari seberang jalan. “Nak ke Senggigi ke? Rp50,000 saya boleh hantarkan. Saya memang dari sana dan nak balik ke sana.” Murahlah tu Rp50,000. So kami setuju. Driver tu, Pak Ono, kata dia baru hantar orang ke Bangsal. Alang-alang kereta dia kosong, murah-murah pun at least dapat something daripada tak dapat langsung. Rupanya dia pernah kerja di Malaysia 12 tahun. Baru balik ke Lombok semula tahun 2013. Bolehlah nak bersembang pasal Puduraya lah bagai. Siap bagi kata pepatah, “dah biasa makan asam garam di Malaysia.” Kehkeh.

Dia kempen pakej dia untuk round Kuta esok dia caj Rp450,000. Tadi lagi masa di Gili husband dah kata, kalau ada orang offer Rp500,000 dia on. Ini lebih murah daripada tu, jadi kami setuju jelah.

Sampai di Holiday Resort Lombok pukul 1. Tunggu sekejap sementara bilik siap, lepas tu dah boleh masuk bilik. Lepas tinggal di Gili Teak, this room is a little bit of a disappointment, to be frank. A little but rundown, a little bit unkempt. Walaupun dari luar nampak cantik, dan di bawah pengurusan Holiday Inn. Tapi takpelah, nak buat macammana. Internet dia down pulak tadi, jadi tak dapatlah terus rasmikan Wifi. Haha.

Bersiap, solat semua. Kami terus keluar, sewa motor untuk merayau ke Senggigi dan Mataram. Rp75,000 untuk 24 jam. Berpatutanlah tu.

Apa lagi, merempitlah! Terus ke Mataram. Sampai di Mataram terpinga-pinga. Apa attraction dekat sini? hahaha. Dahla tak research, takde internet pulak tu. So last-last kami stop di kedai Mataram Juice, lunch dekat situ. Tumpang wifi dia sekali, check Google maps segala. Makan pun murah dan sedap, total Rp75,000 untuk 2 pinggan nasi goreng dan 2 air yang sangat sedap. Yelah kot, nama pun Mataram Juice, haruslah jusnya sedap kan?

Waitress kat situ sangat helpful dan friendly bila kami tanya-tanya direction. Jadi lepas makan kami teruskan perjalanan. Last-last masuk ke Epicentrum Mall. Adoiyyaiiii…. Dengan selipar jepun, seluar track yang aku guna untuk mandi sejak Day 2, muka tak siap, masuk mall. Yang penting jiwa mesti confident. Pedulik hape dressing macam kampong, aku rasa macam aku Erra Fazira je tadi. Cun abih! Hahahah.

15 minit dah abis pusing dah mall nyer. Aku kata kat husband, kalau orang Lombok ni datang Malaysia masuk OU, mau sesat dalam tu. Sini kecik je mallnye.

Jadi balik jelah. Tak tau nak tengok apa dekat Mataram ni. Nak shopping ole-ole pun tak tau dekat mana. Dekat nak sampai Senggigi tu husband ajak lepak makan jagung dan minum air kelapa. Lepak lah kejap walaupun panas berdengung.

Sampai di Senggigi kami berhenti cucuk duit kejap. Tapi tak lepas pulak. Kad aku pun tak boleh, kat husband pun tak boleh. Berpeluh ketiak kejap aku. Duit tak cukup dah ni, ada 2 hari lagi ni. Nasib baik bila sampai hotel internet dia dah ok. Maybank2u lah kita, uruskan apa yang patut. Rupanya nak cucuk duit dekat oversea kena setting dulu dalam Maybank2u tu. Kena enable Oversea Withdrawal, masukkan tarikh dari bila sampai bila dan sebagainya. Lepas ni baru boleh draw money. Lega! Aku cuma pelik kenapa dekat India hari tu senang je aku keluarkan duit…

Lepas Maghrib baru kami keluar balik, ke Senggigi semula cari dinner. Merempit la lagi. Motor tu kami punya sampai esok. Makan di kedai Banana Leaf Café - ikan bakar, udang galah kecik, sotong, sup dan nasi. Husband aku tak mau ambil seafood tu, tapi brader kat situ kata rugila tak cuba. So husband ambil udang yang kecik je, sekali ngap. Sotong dia bagi free sekor, untuk rasa. Semoga tak gout lah suamiku ye!

Lepas makan kami tengok souvenir di situ. Kami tak masuk ke kedai-kedai, tapi beli daripada orang yang duduk tepi jalan. Dapat fridge magnet 1 Rp10,000. (Pejam matalah walaupun rasa masih mahal). Beli T-shirt 3 Rp100,000. Anak-anak pun beli baju sepasang sorang satu, Rp 30,000 each. Kain pelikat beli untuk Abah dan Ayah, sepasang Rp60,000. Harganya semua standard Malaysia. Atau kalau kami yang kena tipu, itu hal dia lah. Aku dah berada di tahap malas nak pikir. Lusa dah nak balik. Motor kami pegang sampai tengah hari esok je. Kawasan hotel kami duduk ni jauh dari kedai. Kalau tak beli sekarang, entah nak tunggu bila. Trip berdua camni kena beli jugak ole-ole bawak balik, sebab semua orang berganding bahu jagakan anak-anak aku. Kalau kami pergi 4 beranak, aku balik berlenggang je. Tak beli apa pun kat orang kat rumah.


Selesai mengosongkan beg duit, balik ler. Lembik dah ni. Nasib baik aku tak tidur atas motor. Esok nak kena mangkit awai lagi. Wuwuwuw….

No comments:

Post a Comment