Thursday, 19 October 2017

Kids Take Iceland - Day 4

17th October 2017

Malam semalam langit cerah. Bintang banyak sangat. Tapi masih takde rezeki kami untuk tengok aurora. Aku sangat berharap sebenarnya, sebab teringin sangat-sangat nak tengok. First time aku tahu kewujudan aurora ni masa aku dekat university, umur aku mungkin 21 gitu. Masa tu aku obsess tengok cerita Roswell, cerita bersiri pasal alien tu. Dan salah satu karakter dia tu pergi Sweden untuk some foreign exchange program, dan balik dengan banyak gambar dan cerita pasal northern lights ni. Sejak dari tu aku pasang angan-angan untuk tengok sekali. Sekali je pun takpe seumur hidup. Tapi aku nak tengok dengan mata aku sendiri.

Mak ayah aku pun boleh tahan bersungguh-sungguh. Pukul 3 pagi diorang keluar bilik tengah sejuk gedi tu dok melilau dekat luar mendongak ke langit dengan harapan dapat jumpa. Yang diorang dapat cuma tengok bintang yang banyak. Well, at least something kan?

Dalam pukul 5 lebih kami semua dah berjaga. Aku kerja macam biasa, anak-anak pun dah bangun buat bising pagi-pagi tu. Sampailah pukul 7.30 kami turun breakfast. Hotel ni sediakan breakfast sekali, jadi kami makanlah apa yang boleh dimakan. Roti, telur, muesli, susu, buah, jus, waffle. Kesimpulannya kenyanglah pagi tadi.

Sebelum check out kami bergambar dulu dekat luar, lepas tu baru drive. Ayah aku spec boleh patah pulak. Jenuhla nak mencari dekat Iceland ni. Nasib baik kalau pakai snowcap, benda tu boleh hold dekat kepala dia. So hari ni dia tak boleh tanggal snowcap dia la.

Hari ni kami akan patah balik ke rumah pertama kami duduk di Iceland hari tu. Jadi dari hotel ni kami akan singgah di semua attractions dan tempat cantik yang kami dah nampak on the way hari tu tapi terpaksa abaikan untuk sampai ke Diamond Beach. First stop kami singgah di tepi satu sungai air deras yang cantik, nama pun kami tak tahu. Lepas tu kami berhenti lagi tepi jalan untuk bergambar di batu-batu berlumut yang mengingatkan aku dekat watak trolls dalam movie Frozen. Geram tengok batu-batu tu nampak hijau dan empuk dari jauh.


Dari sana kami drive sampai ke pekan Vik. Dekat sini kami stop sekejap sebab ada kedai-kedai, kotlah ada kedai spec untuk ayah aku uruskan spec dia. Kami sempat window shopping. Souvenir Iceland subhanallah mahalnyeeeeeeeeeeee…. Topi satu pun dah harga RM120 ke RM200. Snow globe kecik satu dalam RM70 duit kita. Fridge magnet satu RM40. Jaket bubble macam dekat Uniqlo tu satu RM600. Tak pernah lagi aku pergi negara yang lebih mahal daripada Iceland ni. Tak mustahil aku akan balik dengan tangan kosong, walaupun untuk diri sendiri. Sape yang mengharap souvenir daripada aku, aku ucapkan selamat jalan awal-awal. Kuikuikui…

Dari Vik tu kami gerak ke destinasi seterusnya, Black Sand Beach Reynisfjara. Alaa… yang dalam lagu Gerua tu. Angin kuat dekat sini, tapi mungkin juga sebab hari ni cuaca memang agak mendung dan suram. Pantai dekat sini juga antara pantai yang paling merbahaya di dunia sebab arus ombak dia yang datang mengejut dan kuat menarik orang masuk dalam air. Siap ada billboard amaran dekat situ pasal pantai ni, dan statistik kematian. Mangsa terakhir yang mati dekat sini ialah pada tahun 2016. Jadi kami memang langsung tak jejak gigi air dia. Apatah lagi anak-anak, memang aku tempik aje kalau lari jauh sikit.

Bergambar dekat situ puas-puas. Mak ayah aku gerak ke kereta dulu sebab malas nak layan aku dengan husband agaknye. Aku heret anak-anak sekali bergambar macam-macam. Haha.. Lepas tu kami teruskan ke bangkai kapal terbang terhempas yang juga ada dalam video clip Gerua tu. Jarak dengan Reynisfjara cuma beberapa minit aje.


Dekat sini kami kena park kereta di kawasan parking di tepi jalan. Lepas tu kami kena menapak ke lokasi bangkai kapal terbang tu sejauh 4 km pergi, dan lagi 4 km patah balik. Jauh giler! Aku risaukan budak-budak, tapi sebab semua orang pun berminat nak pergi, kami gagahkan juga. Yang first sekali mula mengomel penat, sejuk, pedih bibir, sakit kaki dan sebagainya ialah anak dara aku lah. Masa nak dekat sampai tu mula hujan gerimis pulak tu, makinlah sejuk. Tapi hikmahnya, dekat background kapal terbang tu ada pelangi.


Bergambar puas-puas. Ramai juga orang yang bersungguh jalan ke sana, tapi setakat yang kami pergi tu, takde orang lain yang bawak budak. Sampailah masa kami on the way balik, berjalan kaki dalam hujan pulak tu, ada 1 family dari Malaysia juga yang bawa baby dalam baby carrier. Mak aku terus angkat tangan tabik dekat ayahnya yang tukang angkat baby. Haha.

Sampai dalam kereta boleh tahan basah jugaklah kami. Dan kami meneruskan perjalanan sekitar 8 minit dari situ, iaitu ke Skogafoss, air terjun yang juga dipaparkan dalam video clip Gerua. Dekat sini kalau datang masa hari cerah, boleh nampak pelangi jugak. Tapi hari ni cuaca mendung kelabu, jadi tak adalah.

Anak-anak semua pakat dah penat, jadi diorang dah tak nak bagi kerjasama. Husband cuba pujuk anak teruna aku ke toilet, dia tak nak. Tak rasa nak kencing katanya. Dia cuma tak nak ikut langsung ke waterfall tu. Yang kakak berjalan juga ke waterfall, tapi tengok dari jauh dan ambil cuma satu gambar, terus nak patah balik ke kereta juga. So mak ayah aku pergi bergambar dulu, aku and husband jaga anak, lepas tu tukar shift pulak. Aku dan husband pergi sampai betul-betul dekat tepi waterfall, habis basah baju, tudung, phone aku semua. Tapi berbaloilah, walaupun cuma sekadar selfie.
Patah balik ke kereta tu, mak aku bagitahu ada disaster telah berlaku. Anak jantan aku boleh pulak kencing seluar dalam kereta tu. Adoihai! Kalau takde mak ayah aku dekat situ memang aku dah mengamuk dah, sebab kita dah usaha bawak dia sampai ke depan pintu toilet, dia yang berkeras tak nak masuk. Sekarang kan dah leceh. Nasib baik aku bawak seluar 3 pasang dan bukan 2 macam plan asal. Tukarkan seluar dia pakai seluar tidur, kemas-kemas apa yang patut. Kami teruskan perjalanan ke Airbnb kami.

Dari Skogafoss tu ambil masa sejam suku. Sampai di rumah tu pukul 5.15. Terus rush solat Zohor Asar, dan settle down. Dinner malam ni masak nasi tomato, telur goreng masak merah, sup sayur, nasi putih dan telur goreng untuk anak aku, dan ubi goreng. Oh, lazat tak terhingga!

Anak teruna aku sekadar makan cereal semangkuk, dan belum pukul 7 dia dah mintak nak tidur. Lantaklah, asalkan bahagia. Kami makan, mandi, solat semua. Sebelum pukul 9 semua dah bersurai.

Malam ni nampaknya tak ada peluang nak tengok aurora lagi, sebab dekat luar hujan agak lebat. Langit pun berawan tebal. Hukhukhuk…


1 comment:

  1. Tak kiraaa nak jugak fridge magnet Iceland.. nanti aku bayar balik half hahaha

    ReplyDelete