Saturday, 16 February 2019

Spanish Exploration 2019 - Malaga to Barcelona Day 10


9 February 2019 

Kami bangun pukul 5 sebab banyak yang perlu diuruskan pagi ni. Pertama sekali kena drive ke Malaga Airport dan return kereta sewa. Lepas tu nak check in flight Vueling Air balik ke Barcelona. Flight kami pukul 9.45.

Airport dekat je, tapi sebab airline kali ni level-level AirAsia, aku tak nak ambil risiko. Keluar dari rumah tu pukul 6 pagi, terus return kereta. Orang jaga kaunter kereta sewa pun belum ada sebab kaunter buka pukul 7 pagi. Tapi dah ada instruction dekat situ cara return kereta di luar waktu operasi. Just isi borang yang disediakan dan drop kunci je. Alhamdulillah, kami gunakan kereta tu 5 hari dengan selamat dan takde masalah apa-apa. 5 hari memandu sejauh lebih kurang 1000 km, kami isi minyak EUR 50. Kereta Audi A4 tu pakai Diesel, jimatlah sikit.

Anyway, naik ke airport dan drop baggage. Kami dah check in online. Flight ni pun murah sebenarnya. Harga untuk seorang ialah EUR15.99 kalau tak salah. So total untuk kami berempat hari tu dalam EUR 60 lebih bersamaan RM300 lebih kurang. Tapi sebab kami ada beg, kami add on 2 luggage, kena bayar extra. 1 luggage EUR 20, jadi kena bayar EUR 40. Harga luggage lagi mahal daripada harga seat ya tuan puan. Sekian terima kasih. Tapi masih lagi murah dan cepat berbanding naik train. Redha jelah.


Kami sampai awal jadi lepas drop baggage kami pergi solat dekat multifaith prayer room. Ye, ada bilik untuk solat, tapi dia buat general lah. Semua agama boleh masuk. Biliknya diletakkan bangku panjang-panjang macam dalam church, tapi masih luas dan banyak ruang untuk solat. Cuma wuduk kena pergi ambil di toilet sebab tiada ruang wuduk disediakan. Bagi aku, ini dah cukup baik daripada perlu solat di tepi-tepi toilet dan sebagainya. At least it can be done privately.

Selepas imigresen semua, kami lepak minum kat Costa Coffee sebab gate pun belum diumumkan lagi. 15 minit sebelum boarding baru gate diberitahu dekat skrin informasi. Pukul 9 baru kami ke gate. Boarding semua lancar, flight dia pun selesa. Kami semua tidur je dalam flight yang ambil masa dalam sejam setengah tu. Sampai di Barcelona Airport dalam pukul 11.15. Collect luggage dan naik teksi ke hotel kami di La Rambla. Tak jauh daripada apartmen pertama kami masa first sampai dulu.

Kali ni kami booking Hotel Palermo dekat-dekat area Boqueria Market. Senang je nak jumpa hotel dia. Bila kami masuk, dia kata bilik dah sedia semua. Tapi bila anak-anak aku menjengukkan muka, masalah terus timbul. Mamat reception tu tak benarkan kami masuk bilik tu. Dia kata kami book bilik untuk 2 orang, tapi tetamu ada 4 orang. Ya Allah, kering darah kami masa ni. Sungguh, aku sentiasa akan baca terms and conditions betul-betul kalau book hotel especially kat luar negara disebabkan benda-benda macam nilah. Lagilah, aku memang kerja dalam bidang ni. All the fine prints hotel memang aku sangat ambil berat. Dan honestly yang aku faham ialah kami book bilik untuk 4 orang. Masa pilih configuration katil dah diberi pilihan yang kau kena klik. Pilihan 1) 2 twin beds OR Pilihan 2) 1 double bed, 2 bunk beds. Dan kami klik pilihan kedua.

Dia kata ayat tu sepatutnya 3 pilihan; 2 twin beds, OR 2 double bed, OR 2 bunk beds. Masalahnya OR yang terakhir tu tak wujud dalam ayat tu. Puas kami tunjuk dekat dia, dia kata it’s not our fault, it’s Booking.com’s fault. You contact them. Aku mintak refund, dia kata booking ni Non-refundable. Aku mintak dia bagi pengecualian sebab ada budak-budak, dia kata ini polisi hotel dan dia tak boleh letakkan risiko atas hotel dia. Dia kata hotel dia full, so 2 orang boleh duduk sini, 2 orang lagi kena pergi cari hotel lain. Aku bingung masa tu. Nak bergaduh pun ada. Aku langsung tak rasa kami salah sebab itu yang tertulis dalam booking kami. Aku mintak tengok bilik, just nice je untuk kami berempat, ada ruang untuk diorang tidur di bawah. Tapi dia kata it doesn’t work that way. So aku dengan husband dah termenung kat tepi sambil husband buka booking.com nak cari hotel lain dekat-dekat situ. Aku dah berkeras kata biar burn aje duit yang dah bayar ni; cari hotel lain untuk kami berempat sebab tak nak berpecah.

Tiba-tiba mamat tu berlembut sendiri. Dia datang balik dekat kami dari tempat dia di reception, dia kata dia boleh kawtim. Dia akan rekodkan kami sebagai book Triple Room instead of Double Room, dan dia akan rekod nama satu je anak kami. Tapi kami kena senyap-senyap. Cuma kena bayar tambahan EUR 10. Aku pun tak tahu apa yang buat dia berubah fikiran; mungkin tengok muka toya anak-anak aku. Tapi kita pun janganlah nak jadi bodoh kan. Orang dah bagi tu terima aje, dan cakap terima kasih banyak-banyak. Admit je kesalahan kita (walaupun aku tau aku tak salah), cakap ‘we appreciate this’ banyak-banyak kali, cakap sorry, cakap thank you. Bayar-bayar, dan masuk bilik senyap-senyap. Budak-budak tu pun dah cukup besar untuk paham, kali ni diorang senyap je dalam bilik. Takut kena halau agaknya.

By the time tu Zohor dah masuk. Kami solat, bersiap dan keluar. Pertama sekali pergi makan dulu di kedai Turki (lagi). Dekat Barcelona ni harga makanan memang mahal lah. Sekali makan EUR40 tak lari. Pejam mata jelah, nak balik dah ni esok.

Lepas makan husband aku nak ke Camp Nou, stadium Barcelona FC. Itu dah memang kontrak tetap masa sign borang nikah dulu. Aku kena teman dia tengok bola, dia kena teman aku tengok Hindustan. So fine. Walaupun aku merajuk sungguh tak dapat buat stadium tour Real Madrid. Nak ambik gambar dengan Ramos woiiii! Untuk ke sana kami beli multiuser train pass macam hari tu di Madrid. Beli 20 ride dengan harga EUR 20.40. Murah sikit berbanding di Madrid hari tu.

Sampai sana dia buat keputusan veto sendiri nak masuk stadium tour walaupun mahal kemain. Dewasa EUR 26, kanak-kanak EUR 20. Ada tax lagi. Peh peh peh. Sape nak pegi dia belanja lah kan? Kalau Real Madrid ari tu aku sanggup bayar. Hahaha.

Tapi bila masuk dalam, feel dia tak sama la macam masuk Old Trafford. Masa masuk Old Trafford dulu aku macam sebak-sebak pun ya. Kali ni nak baca kisah dia pun malas-malas. Stadium dia tak berapa best. Stadium tour bayar mahal camtu tapi dressing room players pun tak leh masuk. Langsung takde chance nak ambil gambar dengan baju player atau duduk kat seat diorang dalam dressing room. Dahla lighting gelap, nak ambil gambar semua tak cantik. Dulu Old Trafford semua dapat, siap ada sijil lagi lepas keluar. Kesimpulannya tak best. Dahla current player Barcelona semua tak hensem. Kuikuikui.

Boring-boring pun dalam 2 jam jugak dekat situ. Keluar dari sana dah pukul 5 lebih. Kami dah takde hala tuju ni, sebab mood nak balik tu dah datang. Selalu memang macam ni. Rasa sentimental je sebab holiday dah nak abis. 

So kami naik train ke Passeig de Gracia. Husband pergi beli barang yang kawan dia order daripada store Barcelona FC (sebab dapat order lepas kami gerak daripada stadium. Nasib baik official store dia bersepah). Then masuk H&M perabih duit. Husband aku je beli jaket sehelai. Lepas tu ada kafe dalam tu jual semua makanan vegetarian nama Flax & Kale, kami lepak makan kek dan minum-minum. Lepas tu terus balik bilik je. Anak-anak kata makan kek je dah kenyang. Alhamdulillah. Selamat duit mak.

Mandi-mandi, sembang-sembang. Bilik kali ni walaupun kecil, selesa sebenarnya. The only hotel/apartmen/rumah yang kami duduk yang berkarpet. Takdelah seksa nak pijak lantai. Kami dah plan nak bangun lambat dan keluar lambat esok. Nak santai-santai aje last day. Anak-anak tidur, kami layan Memories of the Alhambra last episode kat Netflix. Hahah.

No comments:

Post a Comment