Tuesday, 22 November 2016

Kids' Winter Trip Day 3: Amsterdam

20 November 2016

Nak kata jet lag ke, apa, aku pun tak tahu.  Tapi pukul 1.30 pagi aku dah terkebil-kebil. Yelah pun, pukul 8.30 malam dah tidur. Adik pun terjaga lebih kurang masa tu, lapar. Aku pulak terlupa langsung nak bekal biskut-biskut. Yang ada cuma maggi, nestum, milo… Semua yang kena jerang air dan dalam bilik ni takde kettle. Nasib baiklah owner hotel ni dah bagitau dekat sini boleh minum terus dari paip. Jadi bukak air panas-panas, bancuhkan milo untuk anak-anak.

Lepas tu aku kerah diorang tidur balik, aku pun tidur. Tapi lagi sekali terjaga pukul 5 pagi, dan aku pun terus bangun. Macam biasalah, kerja. Anak-anak pun terjaga sama bila aku buka lampu. Jadi pukul 5.30 pagi dah bising bilik aku. Subuh dekat sini pukul 6.10 gitu. Dalam pukul 7 lebih baru kami mula bersiap untuk keluar. Itu pun dekat luar masih gelap. Matahari naik dekat sini pukul 8 pagi.

Dalam 8.30 kami keluar untuk ke stesen bas di Amsterdam Centraal. Destinasi hari ni nak ke Zaanse Schans. Singgah di kedai Ice Bakery sebab tertarik dengan selection roti-roti dia. Kedai tu macam specialize dalam makanan dengan Nutella, jadi kami order croissant, waffle, pretzel, hot chocolate. Sedap sungguh makan panas-panas. Lepas tu kami teruskan berjalan ke station. Terpinga-pinga lagi sekali mencari tempat bas.


Disebabkan kami masih tak confident nak beli tiket di mesin, kami ke kaunter. Bagus juga sebenarnya. Sebab barulah tau, budak-budak kena bayar EUR 1 aje seorang. Dewasa pula EUR10 seorang untuk 2 hala. Bas untuk ke Zaanse Schans ialah bas Rnet nombor 391. Perjalanan mengambil masa 40 minit sehala. Untuk ke sana train pun ada, tapi based on research dan juga maklumat daripada owner hotel ni, kami dapat tahu yang dari train station di Zaandam kami masih perlu berjalan kaki lebih kurang 20 minit untuk sampai ke Zaanse Schans, dan katanya orang selalu sesat dalam perjalanan dari stesen ke Zaanse Schans tu. Kalau naik bas pula, terus sampai di pintu masuk. Dalam situasi cuaca yang hujan dan angin kuat ni, bas adalah option terbaik.

Kami sampai di Zaanse Schans pukul 11 pagi. Hujan langsung tak berhenti, ditambah pulak dengan angin yang sangat kuat. Zaanse Schans ni jadi tarikan sebab ada kincir-kincir angin tradisional dia. Dan seluruh kawasan tu ada bangunan kecil-kecil yang mempamerkan industri-industri utama di Holland, macam pembuatan cheese, kasut kayu, coklat, dan banyak lagi. So kami berteduh dalam rumah-rumah tula. Dapat tengok demonstrasi pembuatan terompah kayu, dapat rasa macam-macam jenis cheese, coklat. Sepatutnya dalam kincir angin tu pun boleh masuk dengan sedikit bayaran, tapi sebab cuaca memang tak mengizinkan, kami terpaksa ambil gambar dari jauh aje. Bukan dia tak buka, tapi kami takut nak redah angin. Sangat-sangat kuat, jalan pun melayang-layang. Ada tourist mat saleh, baju hujan dia koyak rabak dek angin. Yang payung patah pun ada.

Di Zaanse Schans ni, secara umumnya masuk free. Semua rumah kecik-kecik tu free entrance aje. Tapi kalau nak masuk muzium untuk tahu sejarah tempat tu, nak masuk kincir angin, dan beberapa aktiviti lain, ada bayaran dia. Kalau tak salah aku, ada pakej yang dapat masuk semua dengan harga EUR15 seorang. Kami tak bayar apa-apa langsung semalam, sebab cuaca macam tu, buat benda basic aje.

Lepas 2 jam dekat sana, kami naik bas balik ke Amsterdam. Sampai di Amsterdam semula dalam pukul 2. Kami Google cari masjid yang terdekat, tapi semua jauh sangat. So kami pilih untuk makan di kedai Turkish Grill dengan harapan dia ada surau. Nasib baik memang ada, walaupun bilik tu ialah bilik stor diorang aje sebenarnya. Tapi sejadah dah sedia dibentang, jadi memang diorang guna tempat tu untuk solat nampaknya.

Food dekat kedai tu sedap, tapi banding dengan kedai kebab semalam yang ni mahal la. Portion kecil tapi harga lagi tinggi. Gasaklah, asalkan anak-anak kenyang. Selesai makan dah pukul 3 lebih. Ingat nak pegi bergambar dekat I Amsterdam tu, dekat Rijkmuseum. Tapi ikut Google maps, kami kena jalan kaki 30 minit. Ada lagi satu sign I Amsterdam tu di seberang sungai dari Amsterdam Centraal, yang memang nampak dari jauh tak ramai orang. Tapi husband aku nak pergi Rijkmuseum jugak. Jadi kami menapak ke sana. Anak-anak biasalah, typical anak-anak. Baru je lepas makan, suruh jalan kaki je terus penat. Panas betul hati aku.

Sampai di Rijkmuseum tu ya rabbi, sampai tak nampak mana sign I Amsterdam tu. Orang penuh berkerumun. Kecewa aku. Aku terus teringat yang dekat seberang sungai tu kosong je takde orang. Tapi dah alang-alang sampai, usahakanlah juga ambil gambar. Walaupun gambar-gambar kami dipenuhi dengan mula orang lain sekali. Haha.

Betul-betul depan sign tu ada tempat ice skating. Anak-anak aku sibuk nak main, tapi sebab cuaca belum tahap beku lagi, ice dia tu berair, berlecak. Budak-budak ni mana ada experience skating langsung. So aku tak bagi. Demi keselamatan lah kan. Budak-budak dekat situ laju-laju belaka skatingnya. Digelek tangan kaki anak aku nanti, sape yang tak dapat holiday? Mak dia jugak!

Bagi diorang tengok orang skating sampai hujan gerimis turun. Kami gerak balik. Hari pun dah senja masa tu. Jalan kaki balik ke hotel. Anak-anak tak nak mandi pun, sejuk. Jadi lepas cuci muka, cuci kaki, diorang terus tido.

Aku memang dah plan dengan husband dan dah pun inform anak-anak yang kami akan keluar lepas diorang tidur malam ni. Kami tak pernah buat sebelum ni, ini kali pertama. Tapi disebabkan hotel ni sangat kecil, dan keluar masuk dia kena lalu 1 pintu yang sama, di depan pengurus dia, kami agak confident untuk tinggalkan diorang. Ada beberapa agenda dalam senarai kami. 1. Kena beli beli souvenir sebab pagi-pagi esok kami dah gerak ke Brussels. 2. Kena beli makanan untuk budak-budak makan pagi esok. 3. Kena beli losyen sebab losyen kami dah nak habis dan badan aku dah mula naik ruam. 4. Kami nak ke Red Light District.

Jadi keluarlah kami berlenggang mak minah. Anak-anak tak sedar pun kami pergi. Beli beberapa croissant untuk sarapan esok. Beli sikit fridge magnet takut tak sempat beli dari Amsterdam lagi lepas ni. Cari farmasi semuanya dah tutup. Jadi seterusnya ke Red Light District.


Sejujurnya, aku kecewa la dengan apa yang aku jumpa. Tak seperti yang aku bayangkan. Hahaha. Mana ada orang menari-nari bogel dekat tingkap pun. Kalau nak tengok, semua kena masuk dalam kelab. Memang taklah aku nak bayar kan? Aku berbungkus habis, pakai hood, takut orang ingat ni perempuan Muslim suicide bomber mana nak letupkan tempat maksiat. Wuwuwu.

Jalan satu round dekat situ, lepas tu terus gerak balik. Sambil-sambil tu cari juga farmasi, tapi dekat pukul 8 dah masa tu, kedai dah tutup. Beli kebab dan fries buat bekal sambil berjalan. Sampai balik ke bilik semula pukul 8. Anak-anak langsung tak sedar kami keluar. Heheh. Selamat.


No comments:

Post a Comment